Ziana Zain: Aina Abdul Dah Menang Hati Kita, Kedudukan Bukan Ukuran!

Penyanyi legenda, Datuk Ziana Zain, dengan nada penuh yakin menyifatkan pencapaian Aina Abdul di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 sebagai satu kemenangan besar, walaupun hanya menduduki tempat keempat. Bagi Ziana, kedudukan bukanlah ukuran utama, sebaliknya Aina Abdul sudah buktikan Malaysia mempunyai penyanyi berkualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Bagi saya, tidak kisahlah menang atau kalah kerana yang penting kita sudah tunjukkan Malaysia mempunyai penyanyi yang bagus, kata Ziana, 58, yang nama sebenarnya Siti Roziana Zain. Beliau menambah, lagu-lagu Aina Abdul memang dah sebati dengan masyarakat, malah budak kecil pun boleh menyanyikannya. Sudah melekat dalam halwa telinga masyarakat. Jadi, itu dikira dia sudah menang, jelasnya.
Ziana juga memahami jika ada yang sedikit terkilan dengan keputusan pertandingan itu, namun beliau menggesa agar kita tidak marah-marah. Pada Ziana, vokal Aina yang sangat kuat membuktikan bahawa dia sudah melakukan yang terbaik. Ini katanya, adalah pembuka jalan untuk dunia tahu kemampuan penyanyi Malaysia.
Memetik pengalaman sendiri ketika menyertai pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan dahulu, Ziana turut mengulas kepentingan memahami cita rasa dan kehendak pasaran antarabangsa. Menurutnya, landskap muzik dunia yang berubah-ubah mempengaruhi kriteria persembahan yang akan menarik perhatian juri dan penonton.
Perkara paling penting apabila membawa diri bertanding di luar negara adalah seperti kata Datuk M. Nasir, kita perlu tahu apa yang mereka mahukan sebelum menyertainya, ujarnya. Berbeza dengan era 90-an di mana genre balada diterima ramai, kini pertandingan seperti Eurovision lebih fokus kepada peserta yang bukan sahaja boleh menyanyi, malah menari.
Kita di Malaysia memang kuat dengan lagu balada, tetapi apabila ke sana, keadaannya sudah berbeza, katanya. Apa pun, beliau menegaskan pihak penganjur sahaja yang tahu apa kriteria mereka dan kita perlu akur.
Terdahulu, Aina Abdul menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Thailand, dengan mengumpul 152 markah. Jadi, macam mana, korang setuju tak dengan pandangan Ziana Zain ni? Ke korang masih terkilan?
