MAD MalaysiaMAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

Vokal mantap saja tak cukup nak 'go international', kena ada identiti sendiri

via Instagram @datuksyafinazofficial

Bakat vokal yang hebat memang membantu, tapi itu bukan tiket automatik untuk penyanyi tempatan berjaya di peringkat antarabangsa. Menurut Datuk Syafinaz Selamat, artis kita perlu ada identiti tersendiri, penguasaan ilmu yang mendalam, serta disiplin yang tinggi kalau betul-betul mahu bersaing di luar sana.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia sebenarnya tidak pernah kekurangan penyanyi berbakat. Namun, kehebatan vokal itu perlu diseimbangkan dengan daya tahan dan kematangan artistik. Matlamatnya bukan sekadar untuk dikenali dunia, tetapi untuk dihormati kerana kualiti dan identiti seni yang dibawa.

Syafinaz Selamat merupakan seorang penyanyi Malaysia yang menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris, Itali, Sepanyol, dan Jerman. Selain menjadi penyanyi solo soprano, beliau juga dikenali sebagai guru vokal, jurulatih suara, pensyarah, serta pakar seni suara yang sering menjadi juri profesional dalam pertandingan nyanyian tempatan.

Guna muzik tradisi sebagai senjata

Salah satu kelebihan besar yang ada pada Malaysia adalah kepelbagaian kaum dan budaya. Pendedahan kepada pelbagai bahasa dan tradisi muzik ini sebenarnya satu aset yang boleh dimanfaatkan. Syafinaz mencadangkan agar khazanah muzik tempatan seperti zapin, inang, dan joget, serta muzik daripada masyarakat Cina, India, Orang Asli, serta etnik Sabah dan Sarawak digabungkan dengan elemen pop kontemporari, orkestra, jaz, dan elektronik.

Bagi beliau, muzik tradisi tidak seharusnya disimpan atau hanya dipersembahkan ketika sambutan kebudayaan semata-mata. Sebaliknya, muzik ini perlu dihidupkan, dikembangkan, dan diberi nafas baharu untuk melahirkan identiti muzik yang unik. Beliau berkongsi pengalaman membawa kumpulan Permata Seni Koir bertanding di Jerman, di mana penonton di sana sangat terpukau dengan keunikan lagu tradisional Malaysia yang jarang mereka dengar.

Beliau turut memberi contoh kejayaan K-pop yang tidak hanya bergantung kepada bahasa Inggeris, tetapi mengekalkan elemen bahasa Korea dalam muzik mereka. Hal itulah yang menjadikan kita berminat dengan muzik mereka kerana kelainannya. Beliau turut menyebut anak-anak Malaysia sendiri yang kalau menyanyi seolah-olah boleh bertutur dalam bahasa Korea.

Pentingnya vokal intelektual dan ilmu

Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Syafinaz menekankan bahawa pendidikan vokal sangat penting. Ia bukan sekadar tentang mengejar nada tinggi, tetapi untuk membantu penyanyi menguasai teknik nyanyian yang betul agar lagu dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Beliau juga memperkenalkan konsep “vokal intelektual”. Pada pendapatnya, seorang penyanyi tidak boleh sekadar mengikut arahan pengarah muzik, tetapi harus mampu berfikir sebagai seorang pemuzik. Bakat mungkin boleh membuka pintu peluang, namun ilmu dan disiplinlah yang akan menentukan sejauh mana seseorang itu mampu bertahan dalam industri muzik yang mencabar.

Cabaran ekosistem dan pemasaran digital

Bercakap mengenai cabaran, Syafinaz melihat ekosistem industri muzik negara masih memerlukan penambahbaikan. Malaysia memerlukan sokongan pembangunan kerjaya jangka panjang serta pengurusan artis profesional yang mampu membina jaringan dengan pihak antarabangsa.

Dalam era pendigitalan sekarang, penggiat industri tidak boleh ketinggalan dalam memahami aspek pemasaran digital, hak cipta, pengurusan imej, strategi penjenamaan artis, serta pengurusan perniagaan muzik. Kualiti komposisi, susunan muzik, dan proses rakaman juga perlu diberi perhatian serius supaya karya tempatan setanding dengan piawaian global.

Syafinaz mengingatkan semua pihak agar tidak hanya berpuas hati dengan pencapaian di pasaran tempatan dan perlu sentiasa berdaya saing. Beliau menggalakkan artis tempatan supaya lebih berani bereksperimentasi dan menggunakan platform media sosial untuk meneroka peluang kolaborasi dengan komposer, penerbit, serta pemuzik antarabangsa tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada syarikat rakaman.

Kenyataan ini dikongsikan oleh beliau ketika menjadi tetamu secara dalam talian bagi program Fokus 15 bertajuk Suara Malaysia, Gemanya ke Seluruh Dunia yang disiarkan oleh Bernama TV.

Korang rasa penyanyi Malaysia sekarang dah cukup 'berani' tak nak campur elemen tradisional dalam lagu pop diorang?

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.