Uji Bakat Filem Uyaina Arshad ‘Diserbu’, Siap Ada Peserta dari Brunei!

Uyaina Arshad mengakui terkejut gila dengan sambutan luar biasa ini. Mana taknya, calon yang datang bukan dari Lembah Klang je, tapi merentas negeri, malah ada pelakon dari Brunei pun 'terbang' ke Kuala Lumpur untuk diuji bakat.
“Jujurnya, saya memang tidak menjangka akan menerima kehadiran peserta seramai itu. Ada yang datang jauh dari Brunei, Pulau Pinang dan Melaka,” kata Uyaina. Bayangkan, sesi uji bakat yang sepatutnya buka pukul 9 pagi, dah ada calon beratur seawal pukul 6.30 pagi kat luar pintu pagar. Memang 'hardsales' betul semangat dorang!
Kesungguhan calon-calon ni buatkan Uyaina dan pasukan terharu, sampai terpaksa sambung sesi uji bakat sampai lewat malam. “Kasihan pada mereka yang sudah ke lokasi uji bakat dari jauh termasuk dari luar Lembah Klang serta setia menunggu giliran berjam-jam,” ujarnya. Bagi melancarkan proses pada hari kedua, pihaknya turut menyediakan ruang saringan terlebih dahulu sebelum calon masuk ke bilik uji bakat utama.
Selain uji bakat terbuka, pihak produksi turut menjemput pelakon tanah air untuk sesi tertutup, termasuklah muka baru dan nama-nama besar dalam industri. Proses pemilihan masih dalam perincian dan keputusannya dijangka diumumkan sebelum akhir tahun ini, sebelum kerja penggambaran bermula.
Uyaina juga menjelaskan yang filem ini diterbitkan oleh empat syarikat produksi, dengan setiap penerbit ada tugas masing-masing. Walaupun dia nampak lebih 'ke depan' sebab dah dikenali ramai, dia akui ini kali pertama dia duduk di kerusi produser. Dia labelkan proses merealisasikan Ragging – Melawan Bungkam sebagai sangat mencabar, tapi banyak benda baru dia belajar.
Filem yang disasarkan menelan kos sekitar RM3 juta ini dijadualkan memulakan penggambaran sekitar Disember depan. Harap-harap hasilnya setanding dengan penat lelah semua yang beratur panjang tu nanti!
