Tok Ram Buat Kenyataan, Tak Nak Dengar Alasan Dari Bekas Juara AF Untuk GV13!

Maestro muzik kita, Profesor Adjung Datuk Ramli MS memang tak main-main bila bercakap pasal kualiti. Bekas pengetua Akademi Fantasia (AF) sekitar 20 tahun lalu ini, kini meletakkan harapan setinggi gunung kepada barisan bekas juara AF yang akan bersaing dalam Gegar Vaganza Fantasia atau GV13.
Menurut Tok Ram, tempoh dua dekad yang dah dilalui oleh para peserta sepatutnya mematangkan pengalaman dan vokal mereka. Ini bukan cerita sembang kosong, tapi mesti diterjemahkan melalui persembahan yang padu di pentas GV13. "Benda ini satu benda intelektual. Suara mereka selepas 20 tahun sudah matang. Dalam GV, mereka kena menyanyikan lagu orang. Di situ permainan bermula," tegasnya. Beliau menjangkakan para peserta akan tampil dengan persembahan yang sepatutnya, sesuai dengan pengalaman menyanyi yang mereka ada.
Sebagai figura yang pernah membimbing dan memberi asas seni kepada mereka di AF dulu, Tok Ram memang takkan berkompromi kalau ada yang gagal beri persembahan memuaskan. Katanya, ilmu teori dan praktikal yang pernah diajar masa di AF dulu sepatutnya jadi kelebihan besar untuk mereka tampil dengan standard yang lebih tinggi. Kalau nak dibandingkan dengan artis lain yang tak ada asas macam mereka, bekas juara AF ini memang dah lengkap dengan teori dan praktikal.
Tok Ram menambah, setelah 20 tahun merantau banyak tempat, semua ilmu tu mesti 'menuntut balik' untuk diberi semula dengan standard yang lebih tinggi. "Saya tak nak dengar apa-apa alasan sebab bila saya dengar suara mereka sekarang dah matang. Saya jangkakan praktikal mereka akan lebih baik. Bila datang sini, kena buat yang terbaik," katanya serius. Beliau turut mengingatkan peserta supaya manfaatkan tempoh persembahan yang singkat, hanya dua minit setengah, untuk buktikan kemampuan masing-masing.
Mengulas tentang ketegasannya sebagai juri, Tok Ram menjelaskan bahawa setiap komen dan kritikan yang diberikan adalah untuk membantu peserta perbaiki mutu persembahan mereka di minggu seterusnya. Bukan nak hentam atau kritik, tapi kalau ada yang malas atau buat sambil lewa, memang akan 'kena'.
GV13 akan bersiaran selama 11 minggu, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Program ini juga boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka. Jadi, siapa rasa dia cukup padu, silalah tunjuk!
Siapakah yang bakal menjadi 'mangsa' komen jujur Tok Ram minggu depan?
