Terkejut! Norlia Ghani Pernah Jadi Ratu Cantik, Siap Dijuri Oleh P. Ramlee?

Sebelum dikenali sebagai antara pelakon veteran yang disegani ramai, Norlia Ghani sebenarnya menyimpan impian untuk bergelar penyanyi. Siapa sangka kan? Minat menyanyi dan menari sudah ada sejak kecil lagi. Anak kelahiran Klang, Selangor ini tak pernah jangka keberaniannya menyertai pelbagai pertandingan akhirnya membuka pintu rezeki dalam dunia lakonan.
Memang kelakar bila dia mengaku dirinya itu “orang kata agak gediklah” masa muda dulu. Tapi katanya, gedik dia bukan bermaksud gatal seperti yang orang faham sekarang. Ini jenis gedik yang positif, suka menyanyi dan menari kalau ada majlis kahwin, main selit je! Kalau ada orang ajak masuk pertandingan, dia main masuk je. Tak kira pertandingan menyanyi ke, ratu cantik ke, menang kalah itu belakang kira. Matlamat dia masa tu cuma nak cuba nasib dan mencari pengalaman baru, bukannya nak kejar populariti macam artis sekarang.
Dari Pentas Kampung ke Pertandingan Bomba
Yang paling tak sangka, Norlia Ghani ini pernah join pertandingan ratu cantik anjuran pihak bomba tau! Pertandingan itu diadili oleh barisan seniman tersohor tanah air termasuklah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, S. Kadarisman, Omar Rojik, Jins Shamsuddin, dan Sarimah.
Bayangkan, nak masuk pertandingan tu pun, baju pun dia tak ada. Main pinjam baju kakak atau sewa je. Dia fikir, kalau menang, Alhamdulillah. Kalau kalah pun takpe, at least dapat duit. Memang semangat juang tinggi betul! Lagi terkejut, dia tak sangka boleh menang sebab ramai lagi peserta lain yang lawa-lawa dan bergaya. Tapi, mungkin itulah pilihan hati hakim-hakim yang hebat tu, rezeki terpijak lah katakan.
Pengalaman manis itu memang tak dapat dilupakan sepanjang perjalanan seninya sebelum berpeluang membintangi pelbagai filem tempatan. Dari situ lah, dia pun start berlakon filem.
Pintu Lakonan Terbuka di RTM
Masuk je zaman pita video mula muncul, industri filem kita agak perlahan masa tu, jadi peluang berlakon pun kurang. Tapi rezeki Norlia tak putus. Pelakon Ibrahim Din bawa dia ke RTM untuk menyertai kumpulan komedi. Dari situ, dia belajar sikit-sikit tentang lakonan dalam drama TV.
Katanya, masa tu memang RTM je yang ada, TV3 belum wujud, apatah lagi Astro. Jadi, bila dah biasa dengan orang-orang RTM, peluang berlakon drama TV pun datang. Drama televisyen pertama Norlia berjudul Sesejuk Air di Gunung lah yang jadi permulaan kepada satu lagi fasa penting dalam kerjaya seninya.
Watak Joyah: Meletup Habis!
Selepas drama pertama tu, mungkin pengarah nampak bakat Norlia boleh bawa watak yang diberi dengan begitu menjadi. Kebetulan mereka nak terbitkan siri baharu yang berpotensi jadi hit, iaitu Opah. Dan siapa sangka, Norlia Ghani diberikan watak Joyah yang akhirnya mengubah landskap kerjaya seninya! Walaupun sebelum itu dia dah berlakon filem dan bergelar seniwati, nama dia sebenarnya meletup teruk dan jadi bualan ramai sebab watak Joyah ni!
Sampai ke mana-mana dia pergi, orang tak panggil Norlia dah. Semua orang panggil Joyah. Dia berseloroh bahawa sampai nama sebenarnya pun orang sudah tidak ingat. Ini bukan biasa-biasa, ini tahap ikonik dan legend! Memang satu pengiktirafan besar untuk seorang pelakon bila watak dia lebih dikenali dari nama sebenar. Dia sangat berterima kasih kepada pengarah yang perkenalkan dia dengan watak Joyah ni. Walaupun banyak drama bersiri lain bersaing sengit masa tu, Opah masih mampu bertahan dan kekal di hati penonton, dan sampai sekarang pun orang masih ingat siapa Joyah. Memang karakter Joyah ni betul-betul melekat dalam ingatan penonton, kan?
Tapi korang jangan salah faham pula, di luar set penggambaran, dia bukan Joyah tau. Jadi, siapa sangka 'gedik' dulu-dulu tu yang bawa Norlia Ghani ke pentas ratu cantik, dan seterusnya jadi Joyah yang kita semua kenal sampai hari ni? Hebat betul perjalanan seni beliau ni!
