Farid Kamil Titip Kata Cinta Hingga Syurga, Buka Hati Buat Kekasih Baru?

Farid Kamil kini hangat diperkatakan selepas berkongsi luahan hati yang penuh romantis mengenai pertemuan dua jiwa, takdir dan harapan cinta yang berpanjangan hingga ke syurga. Hantaran tersebut dimuat naik di media sosial beliau bersama beberapa keping foto mesra bersama seorang wanita, ketika mereka menghadiri Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Istana Budaya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Farid menyatakan ada pertemuan yang tidak pernah dirancang, namun terasa seolah-olah telah lama tertulis dalam takdir. Beliau menggambarkan dua jiwa, dua perjalanan dan dua cerita kehidupan yang akhirnya dipertemukan pada waktu yang hanya Allah mengetahui hikmahnya. Baginya, pertemuan ini bukan sekadar untuk mengisi kekosongan hati, tetapi untuk saling mengenali, memahami dan memperbaiki diri.
Pelakon berusia 45 tahun itu turut menyentuh tentang perjalanan cinta yang tidak semestinya bebas dari ujian. Namun, jika dibina dengan keikhlasan dan izin Allah, ia akan berakhir dengan reda-Nya. Beliau berkata tidak menjanjikan perjalanan tanpa ujian, namun berharap langkah itu bermula dengan Bismillah, disertai keikhlasan. Farid menekankan bahawa cinta yang paling indah bukan sekadar menemukan dua hati, tetapi membawa kedua-duanya semakin dekat kepada Ilahi.
Menutup luahan hatinya, Farid menyampaikan harapan agar pertemuan yang diaturkan ini membawa kebahagiaan bukan sahaja di dunia, malah kekal hingga ke akhirat. “Jika benar kita ditakdirkan bersama, semoga bukan hanya di dunia, tetapi hingga ke syurga,” tulisnya lagi.
Perkongsian romantis ini mendapat perhatian meluas, terutamanya selepas perjalanan rumah tangga Farid sebelum ini yang berakhir dengan perceraian bersama pelakon, Diana Danielle. Netizen dan rakan artis rata-rata mendoakan kebahagiaan buat beliau. Antara yang meninggalkan komen ialah Mohd Hafiz Chai dan Nadzrul Amal Muhammadin yang turut menzahirkan kegembiraan.
Untuk rekod, Farid Kamil dan Diana Danielle mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad yang kini berusia 13 tahun, dan Nur Aurora, 10 tahun. Pasangan ini pernah melalui episod turun naik rumah tangga sebelum Farid melepaskan Diana dengan talak satu buat kali kedua pada 24 Mac 2025.
Agaknya, siapa agaknya sang puteri yang berjaya mencairkan hati Farid Kamil kali ini?
