Tak boleh move on dari lakonan, Datuk Hans Isaac rasa 'sampai mati' tetap pelakon

Datuk Hans Isaac mengaku memang susah nak tinggalkan dunia lakonan sebab bidang ini dah sebati dengan dirinya sejak lebih tiga dekad lepas. Walaupun sekarang lebih sibuk uruskan hal pentadbiran dan perniagaan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), fikirannya masih ligat cari idea cerita untuk dibawa ke layar perak.
Sampaikan sebelum tidur pun, beliau kata pasti ada cerita baharu yang bermain dalam kepala. Bagi beliau, sekali bergelar pelakon, sampai mati akan tetap jadi pelakon. Antara idea yang terlintas di fikirannya termasuklah menghasilkan projek animasi atau menghidupkan semula karya lama seperti filem Cuci.
Hans juga sentiasa terbuka untuk sokong idea baharu daripada rakan seperjuangan. Bagi beliau, kreativiti tidak sepatutnya dihadkan oleh usia, kedudukan, atau tanggungjawab yang sedang dipikul.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan komitmen untuk meneruskan lakonan dalam drama Gerak Khas 2.0. Walaupun pada awalnya hanya setuju untuk satu episod, Hans akhirnya menerima tawaran Datuk Yusof Haslam untuk berlakon dalam beberapa episod lagi kerana tidak mahu menghampakan pihak produksi serta rakan pelakon lain.
Beliau rasa seronok dapat kembali ke set penggambaran kerana dapat berjumpa semula dengan kawan-kawan lama. Pengalaman ini juga membuatkan beliau lebih memahami perasaan pelakon veteran yang sangat mengharapkan peluang untuk bekerja semula.
Menurut Hans, peluang kembali berlakon bagi pelakon veteran bukan sekadar pasal duit, tapi lebih kepada kepuasan dapat berjumpa rakan lama dan buat benda yang diminati. Beliau membayangkan betapa gembiranya seseorang yang sudah berusia 70 tahun jika diberikan ruang untuk bekerja semula selepas sekian lama.
Untuk rekod, Hans mula menceburi bidang hiburan sejak 1994 melalui filem Ringgit Kasorrga sebelum mengumumkan persaraan daripada lakonan pada Disember 2021 untuk fokus kepada perniagaan, politik dan penerbitan.
