MAD MalaysiaMAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

21 tahun menyanyi baru ada mikrofon sendiri, Mawi terkejut dapat hadiah warna oren daripada Ekin

via Instagram @cahayaasmawi

Bayangkan sudah 21 tahun berkarya dalam dunia seni, tapi penyanyi Mawi baru sahaja memiliki mikrofon peribadi buat pertama kali. Mikrofon dengan rekaan khas ini adalah pemberian isterinya, Ekin, sempena ulang tahun Mawi pada awal November lalu.

Mawi sendiri mengaku terkejut dengan kejutan tersebut dan selama ini dia hanya menggunakan apa sahaja mikrofon yang tersedia ketika membuat persembahan. Perkara itu dinyatakan Mawi dalam satu hantaran video.

Mikrofon tersebut tampil menyerlah dengan warna oren dan lebih istimewa kerana terdapat ukiran nama Mawi dalam tulisan Jawi. Warna oren itu dipilih berdasarkan cita rasa Ekin, namun ia juga membawa makna mendalam bagi Mawi. Warna tersebut adalah simbolik kepada dirinya sebagai anak kelahiran gugusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Taib Andak, Kulai, Johor.

"Terima kasih Ekin, terkejut saya. Warna oren itu simbolik warna tema Felda. Iya, aku anak Felda," kata Mawi yang kini berusia 45 tahun.

Dalam video yang sama, Ekin mendedahkan bahawa dia sebenarnya sudah beberapa kali meminta suaminya itu untuk memiliki mikrofon sendiri. Namun, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, dipercayai merasa segan untuk menggunakan mikrofon peribadi ketika tampil membuat persembahan di mana-mana acara.

Ekin turut memberitahu Mawi selalu berkata malu memakai mikrofon sendiri kerana bimbang nampak macam poyo.

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.