Baru nak move on dari MCR, Evanescence pula datang gegarkan KL!

Siapa sangka Kuala Lumpur jadi satu-satunya destinasi Evanescence di Asia Tenggara untuk siri persembahan kali ini. Memang rezeki habis! Amy Lee bersama Evanescence bakal buat kemunculan semula selepas 14 tahun menerusi konsert Evanescence Live in Kuala Lumpur 2026 pada Sabtu ini.
Lepas hampir 130,000 peminat serbu Stadium Nasional Bukit Jalil dua malam minggu lalu untuk konsert My Chemical Romance, sekarang giliran vibe gothic pula ambil alih. Kita semua tahu lagu macam Bring Me to Life, My Immortal, dan Going Under memang lagu wajib masa zaman sekolah atau waktu tengah patah hati dulu.
Kalau dulu kita layan lagu-lagu ni guna MP3, Winamp, radio atau MTV, kali ini kita boleh jerit sama-sama secara live. Konsert anjuran Hello Universe ini juga akan bawakan Poppy sebagai artis jemputan khas untuk bagi sentuhan muzik alternatif dan metal generasi baharu.
Kita tahu Evanescence bukan sekadar band rock biasa selepas album Fallen meletup pada 2003 dan menang dua trofi Grammy pada 2004. Walaupun ramai antara kita sekarang sudah jadi ibu bapa atau sibuk kerja dan bayar komitmen bulanan, jiwa emo itu tetap ada dalam diri.
Kalaulah minggu lepas kita sudah kembali jadi remaja bersama MCR, minggu ini masanya untuk raikan sisi gothic pula. Memang tak sempat nak simpan baju hitam, tapi itulah yang kita nak, kan?
