Kumpulan Spider bawa M. Nasir gegarkan Johor 30 Januari nanti

Kumpulan Spider bakal mengadakan Konsert Spider Sengat Selatan di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 30 Januari. Paling gempak, Datuk M. Nasir akan turut serta sebagai penyanyi undangan dalam konsert tersebut.
Kehadiran M. Nasir ini sebenarnya adalah impian Spider yang sudah bertahun-tahun mereka nantikan. Vokalis Spider, Tam atau Rustam Mustafah, mendedahkan bahawa mereka sudah cuba mendapatkan M. Nasir untuk beberapa siri konsert sebelum ini, tapi tak menjadi sebab jadual seniman itu terlalu padat.
Tam memberitahu pihak Ikon bahawa ada dua nama yang mereka sangat nak bekerjasama, iaitu M. Nasir dan Ella, memandangkan kedua-duanya pernah berkolaborasi dalam album mereka. Namun, mereka tak sangka Datuk M. Nasir akan bersetuju kali ini. Selepas dapat pengesahan, barulah Tam mula fikirkan idea dan susunan muzik untuk persembahan tersebut.
Bagi Tam, penglibatan M. Nasir dalam konsert di Johor ini lebih bermakna sebab boleh angkat semangat anak seni dari selatan. Tambah lagi Johor adalah kampung halaman Spider dan M. Nasir juga berasal dari selatan, jadi mereka mahu kuatkan lagi suasana tersebut.
Penyanyi lagu Relaku Pujuk ini juga berharap konsert itu dapat mencipta nostalgia baharu bersama peminat yang sudah mengikuti mereka selama tiga dekad. Walaupun teruja nak buat persembahan di Johor, Tam akui ada cabaran besar sebab mereka menyasarkan 10,000 penonton.
Ini juga merupakan konsert pertama Spider di kawasan terbuka, jadi banyak perkara teknikal yang perlu diambil kira termasuklah cuaca dan sistem bunyi. Bagi Tam, kalau sekadar berada dalam zon selesa, mereka tidak akan tahu kemampuan sebenar dan tidak dapat melihat impak konsert besar di Johor.
Tiket konsert anjuran Icon Entertainment ini mula dijual di laman sesawang www.ticket2u.com.my/sengatspider mulai 26 November.
