Nak jadi nenek kebayan ke? Majlis reunion jadi toksik sebab kawan sindir kawan kurus

Keterujaan seorang wanita menghadiri majlis pertemuan semula atau reunion bersama bekas rakan sekuliah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertukar jadi mimpi ngeri apabila bentuk badannya dijadikan bahan sindiran.
Wanita ini mendedahkan berat badannya kini 59 kilogram (kg), jauh beza dengan 85kg sewaktu kali terakhir dia berjumpa rakan-rakannya pada hujung tahun lalu. Malah, dia memberitahu di Threads bahawa berat badannya pernah mencecah 100kg lima tahun lepas. Walaupun rakan-rakannya terkejut melihat dia kurus, ada seorang kawan yang bagi komen cukup 'bitter'.
Kawan tersebut menyindir dengan bertanya sama ada dia mahu jadi nenek kebayan apabila tua nanti kerana menganggap perempuan kurus masa hari tua tidak cantik. Kawan itu lebih rela menjadi gempal atau 'chubby' supaya tidak kelihatan cengkung dan tetap nampak segar bila sudah tua.
Namun, wanita ini tidak makan saman dan terus membalas sindiran tersebut. Dia menjelaskan bahawa tubuh kurus tidak semestinya membuatkan seseorang nampak tua. Dia juga menyindir kembali dengan mengatakan nenek kebayan pun ada yang gemuk tetapi ada penyakit tiga serangkai.
Dia memberitahu bahawa dia konsisten bersenam sejak zaman gemuk lagi kerana sebagai budak aliran sukan, dia perlu kekalkan badan yang sihat sehingga tua. Dia mahu menjadi seperti seorang artis yang masih nampak muda dan fit walaupun sudah berumur 60 tahun. Tindakan tegas itu membuatkan kawan yang mengutuknya tadi terus terdiam.
Kisah ini mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan menjadikan bentuk badan orang lain sebagai bahan ejekan. Ada yang berpendapat sindiran itu berpunca daripada rasa tidak senang hati apabila melihat orang lain lebih cantik, kurus, atau berjaya daripada diri sendiri.
Kalaulah kita nak berkumpul dengan kawan lama, biarlah raikan kejayaan masing-masing, bukannya jadi 'hakim' bentuk badan orang lain. Korang rasa, patut ke kawan-kawan komen pasal fizikal kita masa reunion?
