MAD MalaysiaMAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

Aina Abdul tak berani bagi harapan kolaborasi dengan Carmelle, lagu dengan artis lokal pun tak siap lagi!

via Instagram @ainaabdul

Ramai peminat Aina Abdul mula tertanya-tanya pasal potensi kolaborasi antara penyanyi kegemaran mereka itu dengan peserta lain selepas tamatnya Eurovision Asia 2026 di Bangkok, Thailand pada 14 November lalu.

Nama yang paling banyak disebut sudah tentu Carmelle Collado, wakil Filipina yang bukan saja juara edisi pertama program itu, tapi juga pernah nyatakan hasrat nak bekerjasama dengan Aina.

Menjawab pasal hal ini, Aina, 33, kata dia sebenarnya terbuka untuk bekerjasama dengan penyanyi tersebut kalau ada peluang pada masa depan, namun buat masa ini dia belum nampak sebarang perancangan ke arah itu.

Tapi, Aina tak nak bagi janji manis dekat peminat. Sebabnya? Lagu kolaborasi dengan artis tempatan pun dia belum sempat siapkan sampai sekarang. Dia bimbang kalau bagi harapan untuk projek luar negara, nanti peminat kecewa pula.

"Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu kepada peminat kerana lagu kolaborasi bersama penyanyi tempatan pun masih dituntut mereka sehingga sekarang dan saya masih belum dapat tunaikan. Nak berkolaborasi dengan artis dari negara sendiri pun lagu masih belum siap," ujarnya.

Walaupun belum ada plan tetap, Aina puji Carmelle sebagai penyanyi yang sangat berbakat dan ada potensi besar untuk pergi jauh dalam industri muzik, apatah lagi Carmelle baru berusia 19 tahun.

Aina sempat berseloroh pasal beza hidup mereka pada usia 19 tahun. Kata Aina, masa dia umur 19 tahun, dia cuma berada dalam LRT dalam perjalanan ke kelas vokal saja.

Dalam pertandingan tersebut, Aina yang pertama kali mewakili Malaysia berjaya kutip 152 markah dan menduduki tempat keempat daripada 11 peserta. Carmelle pula muncul juara menerusi lagu Sobra-Sobra, manakala wakil tuan rumah, duo Mang x Daou, di tempat kedua diikuti penyanyi Vietnam Tóc Tiên.

Sabar ya semua, biar Aina setelkan projek lokal dulu baru kita tuntut lagu internasional!

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.

Tonton berita ini dalam bentuk video