Sophia Albarakbah Fokus Kerjaya Lakonan, Tiada Cerita Sensasi

Sophia Albarakbah kini lebih berhati-hati dalam mengatur perjalanan kerjaya lakonannya, dengan memberi perhatian 100 peratus kepada bidang seni tanpa memberi ruang kepada cerita panas yang menyemat namanya.
Namanya sedikit tercalar beberapa tahun lalu akibat kontroversi, termasuk cerita sensasi yang mengaitkan dirinya dengan pelakon Aliff Aziz. Pelakon berusia 33 tahun itu bersyukur kerana pendekatan mengasingkan kerjaya daripada kehidupan peribadi dilihat membantu memulihkan namanya.
"Sebenarnya saya bersyukur kerana dalam tempoh kebelakangan ini, nama saya yang beberapa tahun lalu tercalar, kini kembali pulih kerana orang lebih melihat lakonan saya berbanding cerita sensasi," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sophia berkata drama dan filemnya turut mendapat tempat dalam kalangan penonton, terutamanya orang Melayu. Beliau berkata dirinya lega kerana bakatnya semakin diraikan.
Selepas menerima tawaran tanpa henti, Sophia mengambil tempoh bertenang selama sebulan untuk merehatkan minda. Beliau berkata pelakon yang jadual kerjanya terlalu padat perlu berehat bagi mengelakkan tekanan dan 'burn out'.
"Tiada melancong ke luar negara, sekadar berdiam di rumah dan menghabiskan waktu bersama keluarga kerana saya jarang berjumpa mereka jika sibuk bekerja," ujarnya.
Sepanjang tempoh itu, Sophia turut merangka peluang perniagaan baharu sebagai pendapatan sampingan. Beliau pernah berniaga menjual air kelapa semasa Ramadan lalu dan berkata perniagaan itu penting sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan dalam dunia seni.
"Peluang perniagaan ini hanyalah sebagai mata pencarian sampingan. Selain berlakon, bidang perniagaan juga saya anggap sebagai penyelamat masa depan," katanya.
Sophia berkata beliau akan mengumumkan perniagaan itu tahun depan, jika tiada halangan.
