Efek Rumah Kaca di Rock’n RIUH Benor: Eh, Dana Kerajaan untuk Artis Seberang Ke?

Bukan main kecoh bila kumpulan muzik dari Indonesia, Efek Rumah Kaca, tampil dalam acara Rock’n RIUH Benor di Ipoh minggu lepas. Ramai pula yang persoalkan, kenapa dana kerajaan digunakan untuk membiayai persembahan artis luar negara? Kritikan itu mendakwa langkah tersebut bertentangan dengan mandat MyCreative Ventures (agensi yang menaungi RIUH) untuk mengutamakan penggiat seni tempatan.
Pengurus Pemasaran dan Promosi RIUH, Falliq Effendy, tampil menjelaskan keputusan ni. Menurut Falliq, langkah itu bertujuan untuk memperkaya ekosistem industri kreatif tempatan. Tapi jangan salah faham pula, MyCreative Ventures kekal utamakan peluang untuk penggiat seni tempatan kita untuk tunjukkan bakat masing-masing.
"Keutamaan kami adalah untuk terus menyediakan ruang dan peluang kepada penggiat kreatif tempatan untuk mengetengahkan bakat dan karya serta mengembangkan jaringan serta berhubung dengan masyarakat," kata Falliq.
Nak tahu cerita sebenar? Festival tiga hari di Bulatan Sultan Azlan Shah tu sebenarnya penuh dengan pelbagai aktiviti seni, termasuklah lebih 30 persembahan muzik dan kesenian. Dan paling penting, hampir keseluruhannya diterajui bakat tempatan kita. Efek Rumah Kaca pula hanyalah slot persembahan pada hari terakhir festival.
