Selepas 24 Tahun, Misha Tidak Lagi Perlu Menjadi Orang Lain

Dalam industri hiburan yang selalu kejar glamor dan angka, Misha Omar kekal berdiri teguh selepas 24 tahun dengan satu rahsia: kejujuran terhadap diri sendiri. Bukan sahaja vokal dia yang masih power macam dulu, atau lagu-lagu hits yang tak pernah lekang di bibir peminat, tapi kesahihan diri Misha lah yang buat dia jadi penyanyi luar biasa.
Misha Omar, atau nama sebenarnya Samihah Aisah bint Omar, merupakan penyanyi pop Malaysia yang memulakan kerjaya seawal usia 19 tahun. Misha popular dengan lagu-lagu malar segar dan kekal relevan tanpa perlu jadi orang lain.
Jujur Dengan Diri Sendiri, Resipi Kekal Lama
Misha ni memang lain macam. Dia tak sibuk nak kejar kejayaan dari segi jualan tiket, venue besar atau produksi gah semata-mata. Bagi dia, persembahan berskala sederhana pun dah cukup membuktikan bakat vokal, kualiti muzik dan hubungan dia dengan peminat. Kalau ada peluang pentas besar, dia sambutlah, tapi bukan itu penentu kejayaan mutlak. Sikap dia yang sentiasa ukur baju di badan sendiri ni memang jarang jumpa dalam dunia hiburan yang penuh drama dan ekspektasi. Mungkin sebab tu lah perjalanan seni dia boleh bertahan sampai masuk tahun ke-24.
Paling menarik, dulu Misha tak sorok pun siapa idola dia. Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, dan Datuk Syafinaz Selamat adalah nama-nama yang sering dia sebut sebagai inspirasi, malah dia pernah ada impian nak jadi macam mereka. Selepas 24 tahun, Misha akhirnya jumpa sesuatu yang lebih mahal dari jadi salinan idola dia. Dia memang beruntung dapat belajar, berkongsi pentas, dan timba pengalaman dari figura-figura hebat ni, tapi semua tu tak buat Misha jadi Siti, Sheila, atau Syafinaz versi kedua. Sebaliknya, pengalaman tu yang membentuk identiti Misha Omar yang unik. Hari ini, peminat datang nak tengok Misha yang original, bukan Misha yang mirip sesiapa. Dan itu lah sebenarnya puncak kejayaan seorang penyanyi, kan? Tak payah nak fake-fake.
Showcase "Aku & Lelaki": Penghormatan Dari Hati
Baru-baru ini, Misha buat showcase Aku & Lelaki, yang pada pandangan kami, bukan saja eksperimen tema, tapi manifestasi kecintaan dia pada seni dan penghormatan mendalam pada kerjaya dia yang dah hampir suku abad ni. Ada yang mungkin terkejut tengok dia pilih lagu-lagu penyanyi lelaki, tapi ini bukan sebab dia dah kering idea lagu sendiri. Eh, tak! Misha ada berlambak lagu hit yang boleh buat satu konsert penuh pun.
Konsep berani ni jelas bila dia pilih lagu yang ada karakter dan cabaran tersendiri. Misha menyampaikan Lelaki Ini dan Keabadian Cinta yang sinonim dengan Anuar Zain, lepas tu bangkitkan emosi semula dengan Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz Suip. Dia turut bagi sentuhan sendiri pada Teh Hijau karya Tulus, tunjuk versatiliti vokalnya merentasi genre dan generasi. Banyak lagi lagu lain, termasuklah lagu-lagu dia sendiri, yang dipersembahkan sepanjang dua jam tu.
Pilihan lagu-lagu ni bukan saja bawa penonton mengimbau memori muzik lama, tapi juga tunjuk betapa luasnya apresiasi Misha terhadap khazanah muzik Nusantara. Paling penting, showcase ni bukti yang Aku & Lelaki tak dibina atas keinginan nak tinggalkan identiti sendiri, tapi sebagai tanda hormat Misha pada penyanyi-penyanyi lelaki yang turut mewarnai dan membentuk dia sebagai anak seni. Dia tak pinjam populariti lagu-lagu tu, tapi beri nafas baru dengan interpretasi yang kekal bawa identiti vokal dan emosi Misha Omar yang kita kenal. Ini menunjukkan Misha tak takut nak cabar diri, nak teroka dimensi baru dalam lagu, sambil bagi pengalaman berbeza pada peminat setia dia. Persembahan pun dibuat dengan cukup elegan, tak ada nak buat gimik lebih-lebih atau kejar sensasi murahan. Memang fokus pada muzik, hormat pada karya, dan keyakinan seorang penyanyi yang dah cukup matang.
Misha Omar ni memang definisi sebenar artis sejati, kan? Mana nak cari penyanyi macam ni sekarang?
