MAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

Rasa Luar Biasa Kendali Kelas Pertama Seni Komedi UKM, Shahrol Shiro Teruja Dengan Pelajar!

via Instagram @shahrol_shiro

Shahrol Azizie Azmi, 42, atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, berkata dia teruja melihat semangat dan keterujaan pelajar yang mengikuti sesi pembelajaran tersebut.

Kelas pertama itu dimulakan dengan pengenalan kepada asas komedi, termasuk bagaimana gelak tawa mampu memberikan manfaat kepada seseorang. Seterusnya, perkara utama dalam komedi ialah menguasai kemahiran bertutur agar setiap yang disampaikan jelas dan punchline sampai.

"Malam ini sangat luar biasa, kelas yang pertama. Mereka (pelajar) sangat bersemangat teruja. Kita banyak belajar dan buat perkongsian bersama," katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Dalam video berkenaan, Shahrol dilihat berinteraksi dengan pelajar dalam suasana pembelajaran santai yang disulami gelak ketawa. Dia turut merakamkan penghargaan kepada semua pelajar atas komitmen yang diberikan sepanjang sesi pertama, sambil bergurau bahawa pelajar mengajarnya cara tepuk budak gen-Z.

Shahrol dilantik sebagai salah seorang tenaga pengajar kursus tersebut bagi Semester I sesi 2026/2027. Pelantikannya mengundang pertikaian dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat di media sosial yang mempersoalkan kelayakannya.

Pada September lalu, Shahrol menjelaskan pelantikannya tidak mempunyai sebarang campur tangan atau pengaruh ahli politik seperti yang didakwa sesetengah pihak. Menurutnya, tawaran itu diterima selepas dia terlebih dahulu berbincang dengan pihak universiti mengenai cadangan mewujudkan Kursus Citra Seni Komedi untuk mahasiswa.

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.