‘PGL tinggalan Mamat Khalid paling bermakna buat saya’

Dua puluh tahun berlalu, dan aura Puteri Gunung Ledang (PGL) tetap melekat di hati peminat. Tiara Jacquelina, pengarah teater muzikal PGLM yang yang dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November, melihat ini sebagai bukti jelas karya dengan cerita dan watak yang kuat memang boleh merentas zaman.
Kali ini, pengalamannya sebagai pengarah memberi Tiara perspektif yang sangat berbeza berbanding masa dia memegang watak Gusti Putri dulu. Dulu, fokus utamanya sebagai pelakon adalah untuk menghidupkan watak Gusti Putri di atas pentas berskala besar. Tiara mengakui dia tak berkesempatan nak menyelami naskhah PGL secara mendalam kerana sibuk memikirkan bagaimana cara mementaskan teater berskala besar.
Tapi sekarang, sebagai pengarah, Tiara berpeluang untuk mengupas setiap inci cerita dan karakter. Dari sudut pengarah, dia dapat melihat semua watak bukan hanya sebagai peranan, tapi sebagai jiwa yang penuh dengan kesakitan, pengorbanan, dan akibat daripada setiap keputusan yang dibuat. Setiap baris dialog dibedah, mencari maksud untuk semua perkataan, ayat malah pergerakan, dan PGLM 2026 berbeza daripada pementasan dahulu. Pendek kata, kali ini memang Tiara ‘all out’ nak pastikan setiap sentuhan dalam PGLM betul-betul sampai ke hati penonton.
Tiara juga percaya kekuatan PGLM terletak pada realiti pahit manis kisah itu yang tak janjikan kemenangan mutlak pada mana-mana pihak. Macam dalam hidup ni, bukan semua yang kita nak akan kita dapat. Watak-watak dalam PGL pun sama. Walaupun masing-masing ada impian dan perjuangan, keputusan yang dibuat mengubah laluan hidup mereka tanpa ada yang benar-benar jadi pemenang sejati. Bayangkan, Hang Tuah tak menang, Sultan pun tak menang, Puteri sendiri pun tak menang. Mereka mungkin bahagia, tapi bukan dengan apa yang mereka hajatkan sepenuhnya. Di situlah terletaknya kesedihan yang buat cerita ini jadi magis dan menyentuh jiwa.
Tiara sendiri tak sangka watak Puteri Gunung Ledang akan melekat sampai sekarang dalam ingatan masyarakat. Ini semua bukti betapa pentingnya skrip yang ditulis dengan baik dan watak yang dibina dengan sempurna. Dia juga mengakui sukar menemui naskhah lain yang memberi impak sama seperti PGL. Kata Tiara, cerita asal filem PGL yang ditulis Allahyarham Mamat Khalid adalah peninggalannya yang paling bermakna untuknya. Manakala untuk pementasan muzikal ini, skrip dan semua lagu pula hasil nukilan Adlin Aman Ramlie. Memang terbukti lah, kalau karya itu bagus, ia akan terus relevan dan diingati.
Sebagai ketua produksi yang menelan belanja jutaan ringgit, Tiara mengaku dia pengarah yang sangat teliti, malah jauh lebih cerewet daripada yang dibayangkan. Sampaikan dalam tidur pun boleh terfikir tentang cara penyampaian watak, dan sanggup berjaga tengah malam semata-mata nak catat nota untuk produksi. Baginya, proses memperhalusi persembahan takkan berhenti selagi tirai belum dilabuhkan pada malam terakhir. Selagi ada masa, selagi itulah dia akan cari jalan nak jadikan semuanya lebih baik.
Setelah berbulan-bulan berlatih, barisan pelakon memang dah bersedia untuk beraksi. Tiara kata kalau suruh beraksi esok pun, mereka dah boleh buat, dan tiada istilah kerja saat akhir dalam kamus mereka. Segala langkah tarian, lagu, dan dialog semua dah dihafal kemas. Sekarang ni tinggal nak pasang set pentas, busana, kemasukan pemuzik, dan integrasi teknologi di lokasi. Tiara berani berjanji PGLM kali ini akan jadi persembahan yang sempurna, insya-Allah.
Untuk kali ini, PGLM diberi nafas baharu dari beberapa aspek untuk bagi pengalaman yang berbeza pada penonton. Walaupun skrip dan lagu asal masih sama, pelakon, kostum, dan rekaan pentas semuanya berbeza. Muzik pun disusun semula dan diberikan sentuhan baharu, tanpa ada lagu yang dicipta khas. Tiara juga sangat memberi perhatian pada perkembangan teknologi yang kini jauh lebih canggih berbanding dua dekad lalu. Teknologi memang digunakan untuk buat persembahan PGLM lebih hebat, tapi ada garisnya. Pesannya, jangan sesekali membiarkan teknologi memimpin persembahan. Dia tak nak penonton terlampau sibuk tengok teknologi sampai terlupa pada cerita yang nak disampaikan, sebab itu petanda kegagalan. Katanya, seramai lima puluh tenaga pelakon termasuk teraju utama dan tambahan akan menjayakan pementasan mega ini. Yang paling penting bagi Tiara adalah lakonan dan penceritaan, dan barisan pelakon kali ini tiada seorang pun yang tidak berlakon.
