Noh Salleh Gementar Nak Duet Dengan Siti Nurhaliza, Sampai Rasa Tak Layak?

Noh Salleh, vokalis kumpulan Hujan rupanya ada satu impian besar: nak berduet dengan Biduanita Negara, Siti Nurhaliza!
Tapi siapa sangka, di sebalik imej rockstar Noh (nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 41), ada jiwa pemalu bila bab nak mengajak Siti berkolaborasi. Dia siap mengaku rasa gementar gila dan tak yakin dia 'layak' pun nak bergandingan dengan figura sebesar Siti Nurhaliza dalam industri muzik ni. Alahai Noh, buat-buat tak tahu ke ramai minat kau?
Walaupun rasa ‘kecil’ je, Noh kata jemputan pertama nanti memang akan ditujukan kepada Siti dulu. Bukan main hormat lagi, sampai nak tanya Kak Rozi (pengurus Siti) dulu sama ada Siti lapang. Katanya, walaupun sedar kedudukan mereka mungkin tidak layak, atas dasar budi bahasa dan penghormatan, Siti harus ditanya terlebih dahulu. Memang respek habis!
Menurut Noh, kalau Siti sudi terima jemputan itu nanti, penyanyi itu bebas nak pilih lagu mana-mana dari katalog muziknya. Noh akan memberikan senarai lagu, dan dia ibaratkan seperti menaburkan semua lagu di atas dulang supaya Siti boleh memilih mana-mana satu. “Apa sahaja untuk ‘Goddess’ kita,” katanya lagi. Ayat dia dah macam nak masuk meminang dah! Romantik betul Noh ni.
Konsert yang diidamkan ini bakal jadi persembahan solo berformat orkestra kedua Noh, selepas dia tampil bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu. Jadi, bayangkanlah kalau Tokti ada sekali, mesti lagi pecah panggung!
Setakat ini, Noh dan pasukannya belum mendapat jawapan daripada Siti.
