Jason Mraz Kembali ke Malaysia: Konsert Padu, Fans Pun Cair!

Peminat Jason Mraz di Malaysia akhirnya dapat menarik nafas lega! Selepas tujuh tahun tak jejak kaki ke sini, penyanyi dan penulis lagu Amerika Syarikat ini muncul semula pada Sabtu lalu dan memang jadi detik yang dinanti-nantikan ramai.
Walaupun hujan turun sebelum konsert bermula, lepas tu trafik Bukit Jalil pulak jem teruk sebab ada banyak event serentak, semua halangan tu tak jadi kudis pun. Lebih lapan ribu peminat, dari Gen Y yang layan lagu dia masa sekolah dulu sampai lah Gen Z yang baru nak kenal muzik berjiwa, semua serbu Stadium Hoki Nasional untuk konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur. Bukti, muzik Mraz ni memang evergreen!
Tampil santai dengan kemeja, topi dan gitar setia di tangan, penyanyi berusia 49 tahun ni buka persembahan dengan lagu "You and I Both". Terus suasana jadi panas membara dengan vokal bersahaja yang memang signatur dia. Konsert pop akustik yang ada mix folk, rege dengan R&B ni memang memukau. Paling best, dia tak kekok langsung berinteraksi dengan kita dalam bahasa Melayu. Setiap kali dia sebut beberapa ungkapan Melayu, fans bersorak.
Mraz meluahkan rasa seronok dapat kembali ke KL dan berterima kasih kepada peminat yang hadir bersama rakan dan keluarga. Kali terakhir dia buat konsert kat sini ialah pada 2019.
Tak cukup dengan lagu hits, Mraz juga pandai buat lawak spontan yang mencuit hati. Dia berseloroh pasal diri dia yang dulu suka menari, tapi sekarang dah 'tua' sikit, lagi suka lepak chill. "11 years ago, when we were a little younger, and we felt like dancing. But now I feel like sitting down because why dance when you can sit down? In fact, why sit down when you can lay down?" kata dia sambil buat muka selamba, satu stadium gelak pecah perut.
Tapi, usia tu nombor je. Walaupun dah nak masuk 50 tahun, tenaga dia atas pentas tak luntur langsung. Dia terus deliver lagu-lagu yang buat kita imbau balik memori lama: "93 Million Miles", "Have It All", "A Beautiful Mess", "3 Things", dan "Make It Mine". Pemenang dua Anugerah Grammy ni teruskan lagi persembahan dengan "Unfold", "The Remedy (I Won't Worry)" dan "Love Someone" yang disambut dengan sorakan dan nyanyian satu stadium.
Lagi satu tarikan malam tu, kawan-kawan lama dia, Raining Jane, turut muncul memeriahkan pentas. Memang bertambah meriah dan lain macam sentuhan dia.
Hampir dua jam menghiburkan, Mraz akhiri konsert dengan ucapan perpisahan yang membuat peminat berharap dia tidak mengambil masa terlalu lama untuk kembali ke Malaysia.
