MAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

Dabra Sia juara Borneo Rising musim pertama, rembat habis hadiah lumayan!

via Instagram @dabra_sia

Peserta kelahiran Kota Kinabalu, Dabra Sia, akhirnya dijulang sebagai juara program realiti Borneo Rising musim pertama selepas lapan minggu bertanding. Memang power betul Dabra ni!

Dabra menyampaikan lagu “Abracadabra” nyanyian asal Lady Gaga secara solo dan berduet dengan Mai K.O.I menerusi lagu “Ku Bersuara”. Hasilnya, dia membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000, trofi Borneo Rising tajaan Astro dan CelcomDigi, serta peluang merakamkan sebuah single dan muzik video terbitan Rocketfuel. Bukan itu saja, Dabra turut dikurniakan kontrak pembangunan dan pemasaran artis bernilai sehingga RM100,000 tajaan Rocketfuel. Fuh, memang banyak gila!

Tak cukup dengan itu, Dabra juga memenangi anugerah Persembahan Paling Power, sekali gus melayakkannya menerima sumbangan CelcomDigi dan hadiah tambahan RM5,000. Memang sapu bersihlah semua hadiah yang ada.

Menurut Dabra, kemenangan ini adalah platform penting untuk dia mengembangkan bakat, memperkukuh identiti muzik, dan membuka peluang kerjaya yang lebih luas. Dia juga akui sangat gembira dan lega kerana semua peserta sejak awal mahu membuktikan bahawa persembahan artis dari Sabah mampu bersaing dengan peserta program realiti televisyen lain.

Pada mulanya, Dabra agak ragu-ragu nak sertai Borneo Rising sebab dia rasa dah cukup dikenali sebagai penyanyi di Sabah. Tapi, dia akhirnya tekad untuk menyertai selepas sedar program ni boleh bantu dia kembangkan bakat ke peringkat yang lebih besar. Selain menyanyi, Dabra juga ingin belajar penulisan lagu serta membina hubungan baik dengan komposer dan penulis lirik. Yelah, sebelum ni lagu-lagu dia banyak ketengahkan muzik dan identiti Sabah je.

Bila ditanya pasal berhijrah ke Kuala Lumpur untuk kembangkan kerjaya, penyanyi yang terkenal dengan lagu “Hanya Di Sabah” dan “Senyuman Sabahan” ni memaklumkan dia terbuka, tapi bergantung pada rezeki dan peluang yang datang. Katanya, dia perlu melihat keadaan dan mempertimbangkannya apabila tiba masanya.

Pentas akhir Borneo Rising yang dihoskan oleh gandingan mantap Zizan Razak dan Sherry Al-Hadad ini turut menyaksikan Petrova berjaya merangkul gelaran naib juara. Manakala Joy dan Harris masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat. Tahniah semua!

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.

Tonton berita ini dalam bentuk video