Berhenti panggil saya ratu Threads, saya geli – Zila Bakarin

Siapa sangka, niat baik nak luah rasa simpati pun boleh jadi 'petaka' di media sosial? Itulah yang menimpa pelakon senior kita, Zila Bakarin.
Baru-baru ini, beliau, 51, mendedahkan dirinya menjadi mangsa kecaman netizen yang melampau, gara-gara bersuara tentang nasib anak-anak Syida Melvin.
Kecaman tersebut bukan calang-calang, siap menghina fizikal Zila secara terang-terangan. Antara yang paling kerap dilemparkan kepadanya termasuklah memiliki bibir besar dan wajah yang dituduh 'palsu'. Aduhai, kenapa lah sampai ke situ? 'Ramai betul hina fizikal saya. Bibir besar, muka ‘fake’. Hanya kerana saya kasihankan dan pertahankan budak-budak,' luahnya melalui platform Threads.
Yang paling win, Zila nampak tenang je hadapi semua cacian itu. 'Ya, saya tak cantik. Okey, saya terima hinaan itu. Terima kasih semua yang menghina,' katanya. Fuh, sabar betul Kak Zila ni!
Namun, ada satu lagi perkara yang buat pelakon veteran ini betul-betul tak selesa, sampai tahap 'geli' katanya. Pemenang tempat ketiga program Kilauan Emas Selebriti itu secara terbuka meminta netizen agar berhenti menggelarnya sebagai 'Ratu Threads' atau 'Queen Threads'. 'Berhenti panggil Ratu Threads atau Queen Threads. Saya geli,' tegasnya.
Tak semua netizen 'keras hati'. Hantaran Zila ini turut mendapat perhatian dan sokongan daripada rakan selebriti. Pelakon Yuna Rahim tampil memberikan kata-kata semangat yang cukup menyentuh hati. 'Kak Zila, jangan biarkan kata-kata orang buat Kak Zila hilang keyakinan. Kamu sangat cantik dengan cara kamu sendiri, luar dan dalam. Terus kuat, jadi diri sendiri. Yang penting Allah tahu hati Kak Zila,' tulis Yuna, membuktikan persahabatan sejati tak lekang dek kecaman.
Untuk rekod, Zila sebelum ini meluahkan rasa kesal selepas menyaksikan video pergaduhan antara Syida Melvin dan bekas suaminya di hadapan anak-anak mereka. Teguran jujur Zila itu turut mendapat respons daripada Syida dan kakaknya, Syatilla Melvin. Walau bagaimanapun, hantaran asal Zila tersebut difahamkan sudah pun dipadamkan.
