Ben Amir Dakwa Konsert Hiburan Penuh Pemujaan Syaitan, Simbolisme

PETALING JAYA: Pelakon Ben Amir baru-baru ini mendakwa kebanyakan konsert hiburan masa kini berpotensi menyesatkan pemikiran masyarakat. Dakwanya, ia kerana konsert-konsert ini sarat dengan elemen ritual pemujaan syaitan, simbolisme, dan okultisme.
Kata Ben, perkara ini bukan hanya berlaku di konsert hiburan semata-mata, tapi turut melibatkan upacara pembukaan acara sukan antarabangsa yang besar macam Sukan Olimpik dan Piala Dunia.
“Sekarang ini orang patut tahu bahawa kebanyakan konsert memang ada pemujaan syaitan, simbolisme dan okultisme. Upacara pembukaan Olimpik dan Piala Dunia pun sama. Sesatkan mereka, itu rancangannya,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Khianat Yang Terpilih itu juga hairan kenapa ramai sangat golongan wanita yang menyokong konsert hiburan begini.
Tak cukup dengan ‘soal siasat’ itu, Ben Amir siap cadangkan orang ramai tonton beberapa naskhah yang katanya boleh buka minda pasal agenda tersembunyi dalam dunia hiburan antarabangsa. Antaranya siri The Arrivals di YouTube dan filem terakhir Stanley Kubrick, Eyes Wide Shut. “Didiklah diri sendiri,” tegasnya.
Sejak kebelakangan ini, konsert penyanyi antarabangsa The Weeknd menjadi bualan warganet. Konsert itu jadi bualan selepas timbul pertikaian mengenai kemunculan patung robot wanita gergasi rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama, dan penari pakai jubah merah bertudung hud. Penggunaan kedua-dua elemen itu mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa persembahan berkenaan mempunyai kaitan dengan unsur ritual atau pemujaan.
