Arfie Shah Nafi Babak Cium Dalam Filem Kacau: ‘Guna Teknik Kamera’

Pelakon Arfie Shah, atau nama sebenarnya Ad Wafri Shaharuddin yang berusia 33 tahun, menafikan dakwaan dia melakukan aksi cium bersama Nurel Baharin menerusi filem Kacau. Sebaliknya, Arfie mendedahkan babak yang dilihat mesra itu sebenarnya hanya menggunakan teknik manipulasi sudut kamera atau lebih dikenali sebagai ‘camera trick’.
Menurut Arfie, dia mempunyai batasan tertentu dalam lakonan yang tidak boleh dilanggar. Jadi, untuk menjayakan babak di sebuah hospital itu, ia dilakukan dengan bantuan teknik kamera. “Memang ada batasan yang saya tidak boleh langgar. Jadi, babak cium di hospital itu sebenarnya menggunakan teknik kamera,” katanya. Arfie menambah, bunyi cium yang penonton dengar itu turut ditambah kemudian.
Dia menegaskan tidak akan melakukan aksi melampau kerana ia bertentangan dengan prinsip dan batasan peribadi yang dipegang selama ini. Arfie menjelaskan, jika babak Nurel berbaring di atas badannya itu memang berlaku, namun untuk babak cium, ia tidak terjadi. “Itu sangat bahaya dan sudah melebihi batasan peribadi saya,” ujarnya.
Jujurnya, Arfie menyatakan dia melakukan perkara itu hanya untuk menjayakan karya dan mereka sudah berbincang mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Arfie turut mengakui dirinya bukan manusia sempurna dan pernah melakukan kesilapan, namun percaya setiap pengalaman boleh dijadikan ruang untuk memperbaiki diri.
Pada masa sama, Arfie tidak menafikan kepentingan memahami kehendak pengarah dalam menjayakan sesebuah naskhah. Dia juga sentiasa berusaha memberikan kerjasama terbaik sepanjang proses penggambaran. Pengalaman dan pengetahuannya mengenai aspek teknikal pembikinan filem membantunya memahami kaedah tertentu untuk merealisasikan sesuatu babak tanpa perlu menggadaikan prinsip sendiri.
Filem cereka kelima terbitan Le Mediator Studio, Kacau, mula menemui penonton di pawagam pada 12 November lalu. Jadi, lain kali tengok babak mesra, jangan cepat sangat percaya, ya!
