Ammar Nazhan Jawab Isu QR ‘Salam Kaut’ Live Kahwin: "Tak Pernah Terlintas Untuk Wajibkan Beri Wang..."

Haa, mesti korang dah dengar kan pasal isu kod respons pantas (QR) yang timbul masa live majlis perkahwinan Ammar Nazhan kat YouTube? Personaliti media sosial ni akhirnya tampil bagi penjelasan menyeluruh berhubung salah faham yang berlaku dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran di Threads, Ammar menjelaskan yang kod QR tu sebenarnya diletak untuk mudahkan ahli keluarga, kawan-kawan, dan sesiapa saja yang nak bagi hadiah perkahwinan secara digital. Khasnya untuk mereka yang tak dapat hadir tapi setia menonton majlis dia secara live di YouTube.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran am untuk mewajibkan sesiapa memberikan wang. Hadiah perkahwinan adalah pemberian ikhlas, bukannya satu kewajipan,” tegas Ammar.
Okay, part yang ramai duk mempersoalkan saiz QR yang agak besar dan dipaparkan sepanjang siaran langsung tu pun Ammar dah jelaskan. Katanya, itu berlaku sebab ada kekangan teknikal dalam pengendalian paparan livestream. Katanya, ia bukan disengajakan untuk menarik perhatian penonton supaya memberikan wang.
Walaupun dah bagi penjelasan, Ammar tetap mengakui yang paparan QR tu boleh je diuruskan dengan lebih baik. Dia siap mohon maaf lagi kalau perkara tu menimbulkan salah faham atau buat sesiapa rasa kurang selesa. Baguslah Ammar, ada juga sikap bertanggungjawab. Dia harap sangat orang ramai tak terus buat andaian dia ni minta-minta duit daripada penonton semata-mata sebab ada kod QR tu.
Bagi Ammar, doa yang baik-baik untuk rumah tangganya jauh lebih bermakna daripada sebarang pemberian wang. Apa-apapun, dia berterima kasih pada semua yang mendoakan dan meraikan hari bahagia mereka. Isu ni mula tular lepas ada seorang individu luahkan rasa tak selesa dengan paparan kod QR tu masa Ammar berkahwin dengan Elya Maisara, dan rata-rata netizen pun setuju dengan luahan tu.
