Aina Abdul Terharu, Terkedu Dengan Ucapan PMX & Gelombang Sokongan Yang Membanjiri

Penyanyi Aina Abdul mengaku gementar tak terkata apabila 'dibombardir' dengan gelombang sokongan luar biasa sebelum beraksi di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand baru-baru ini. Bukan calang-calang, sokongan itu datangnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, selain rakan-rakan artis dan para peminat setianya.
Penyanyi berusia 33 tahun yang nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani ini, sebelum ini dikenali ramai selepas menjadi finalis Mentor Legend pada 2014 dan kemudiannya meraih perhatian meluas menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL). Baginya, pengalaman menerima sokongan sebesar ini adalah sesuatu yang belum pernah dialami sepanjang bergelar anak seni.
Gelombang Sokongan Yang Membebankan Emosi
Dalam satu sidang media hari ini, Aina meluahkan rasa takutnya bila melihat terlalu ramai yang menyokongnya. Ya, saya sebenarnya takut apabila melihat terlalu ramai yang menyokong kerana perkara itu menjadi tekanan. Seumur hidup, saya tidak pernah menerima sokongan sebegitu terutama apabila orang ramai menulis ucapan ‘good luck’ kepada saya, ujarnya.
Situasi ini membuatkan Aina agak kekok dan tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan perhatian yang melimpah ruah itu. Saya tidak pernah melalui momen itu, jadi tidak tahu bagaimana mahu menyesuaikan diri, tambahnya. Baginya, ia bukan sekadar sokongan biasa, tetapi terasa seolah-olah semua orang ‘terpaksa’ mengucapkan selamat berjaya kepadanya. Perasaan ini, kata Aina, memang agak membebankan emosinya.
Doa Dari Rakan Artis, Kelegaan Selepas Perit
Namun, Aina kemudiannya memilih untuk melihat setiap ucapan dan kata-kata semangat itu sebagai doa. Ini terutama sekali datang daripada rakan-rakan artis yang sudah masak dengan asam garam dunia pertandingan. Namun, perkara itu saya kira sebagai doa daripada rakan-rakan artis dan saya percaya mereka juga sudah pernah merasai situadi yang saya lalui, jelasnya. Golongan artis senior yang rata-ratanya pernah menyertai pertandingan seperti beliau, memahami benar liku-liku tekanan dan ekspektasi yang datang bersamanya.
Selepas pertandingan tamat, Aina sekali lagi tersentuh dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan selebriti. Ramai yang menghubunginya serta-merta untuk bertanya khabar dan keadaannya. Ini adalah satu tindakan yang lebih menyentuh hati bagi Aina kerana dirasakan lebih ikhlas. Terdapat ramai rakan artis yang menghantar mesej kepada saya selepas pertandingan. Bagi saya, tindakan itu lebih ikhlas kerana mereka benar-benar risaukan keadaan saya, ceritanya.
Bayangkan, pertandingan tamat jam 11 malam, dan seawal 11.05 malam, sudah ada yang menghantar mesej bertanyakan keadaan. Keikhlasan macam ni mana nak cari, kan? Jadi terima kasih banyak kepada anda. Anda tahu siapa diri anda yang menghantar mesej sebaik sahaja pertandingan tamat dengan menunjukkan keprihatinan serta risaukan saya, tuturnya penuh penghargaan.
Ucapan PMX: Antara Mimpi & Realiti
Tetapi, kemuncak segala perhatian yang Aina terima adalah ucapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menyifatkan perhatian daripada pemimpin nombor satu negara itu sebagai sesuatu yang langsung tidak pernah dibayangkan. Sudah tentu kepada Perdana Menteri kesayangan kita (PMX), saya rasa seperti bermimpi. Saya tertanya-tanya adakah ini realiti kerana banyak lagi perkara lain yang perlu beliau fikirkan, katanya, jelas menunjukkan rasa tak percaya.
Sebenarnya, Aina pada mulanya bimbang ucapan itu dibuat kerana desakan peminatnya. Namun, beliau tetap meluahkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri atas ucapan tersebut. Memang ‘rare’ lah dapat sokongan dari PMX sampai rasa macam dalam mimpi!
Pencapaian di Eurovision: Banggakan Walaupun Bukan Yang Utama
Aina juga menzahirkan rasa syukur dengan pencapaian yang diraihnya biarpun tidak berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik. Walaupun hanya menduduki tempat keempat di edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Thailand, dengan mengumpul 152 markah keseluruhan, Aina tetap positif. Saya berharap keputusan ini dapat membanggakan semua pihak. Walaupun mungkin kita tidak berada dalam kelompok tiga terbaik, namun kedudukannya sudah sangat hampir dengan kelompok tiga terbaik, insya-Allah, ujarnya. Ini menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan keazaman untuk terus maju.
Untuk rekod, pertandingan tersebut dijuarai oleh peserta dari Filipina, diikuti Thailand di tempat kedua, dan penyanyi dari Vietnam di tangga ketiga. Tak dapat top tiga tak mengapa, asalkan dah bagi yang terbaik dan buat kita semua bangga. Betul tak?
