Minyak Wangi Berjenama David Beckham Dijual Kat Stesen Minyak? Saman RM169 Juta Difailkan!

Kalau dah nama pun David Beckham, kita bayangkan mesti produk dia mahal-mahal, eksklusif, kan? Tapi, korang bayangkanlah perasaan terkejut bila tahu minyak wangi berjenama dia boleh pula didakwa dijual di kedai diskaun dan ruang jualan barangan murah di sebuah stesen minyak.
Disebabkan isu ini, syarikat komersial milik bekas pemain bola sepak terkenal itu, DB Ventures, telah memfailkan saman terhadap kumpulan kecantikan dari Jerman, Coty. Coty ni lah yang bertanggungjawab menghasilkan dan mengedarkan rangkaian wangian serta produk penjagaan diri berjenama Beckham, termasuklah rangkaian Classic, Instinct, Intimately dan Exquisite Leather.
DB Ventures berhujah, jenama global Beckham ini sinonim dengan kecemerlangan dan kehalusan, dengan produk-produknya mencerminkan kemewahan dalam kehidupan seharian. Dokumen mahkamah menyatakan, “Bayangkan kejutan dan kekecewaan yang dialami apabila DB Ventures mendapati produk David Beckham dijual di sebuah stesen minyak.” Peguam DB Ventures turut mendakwa produk berjenama Beckham dijual di Poundland, rangkaian peruncit bajet Britain. Keadaan ini menyebabkan produk tersebut dijual pada harga serendah barangan kedai diskaun, sekali gus menjejaskan imej jenama Beckham yang dikaitkan dengan produk mewah.
DB Ventures menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$41 juta, atau sekitar RM169 juta atas dakwaan pelanggaran perjanjian pelesenan. Saman ini difailkan pada April lalu. Tapi, Coty pun tak diam diri, diorang dah mohon mahkamah untuk batalkan saman tersebut. Alasan mereka, mahkamah New York tak ada bidang kuasa untuk dengar kes ni.
Coty siap buat dakwaan balas lagi! Diorang kata DB Ventures sebenarnya gunakan tuntutan ni sebagai alasan untuk tamatkan perjanjian pelesenan lebih awal dan nak pindahkan kontrak Beckham kepada firma lain, iaitu Interparfums. Authentic Brands, syarikat induk DB Ventures, pula tak nak komen apa-apa pasal isu ini.
