Amir Ahnaf Akui Pernah 'Lost', Filem Baga Peringatan Identiti Anak Kampungnya

Pelakon Amir Ahnaf mengakui pernah melalui fasa gelap dalam hidupnya apabila hilang jati diri, kira-kira dua tahun lalu. Namun, filem 'Baga' seolah-olah menjadi 'penyelamat' yang membawanya kembali kepada dirinya yang sebenar.
Amir berkongsi, ketika penggambaran 'Baga' dijalankan dua tahun lalu, dia memang sangat 'lost' dan sedang mencari arah dalam industri seni. Baginya, menceburi bidang lakonan adalah untuk mencari jiwanya dan mengenali siapa sebenarnya Amir Ahnaf. Perasaan rindu terhadap dirinya yang dulu tiba-tiba datang menusuk jiwa apabila dia melihat semula lakonannya dalam naskhah tersebut.
Anak jati Terengganu ini turut mengakui, kehidupan di ibu kota adakalanya membuatkan dia terasing daripada identiti asalnya sebagai seorang anak kampung yang sederhana. Menurut Amir, kenangan zaman kanak-kanak seperti memanjat pokok manggis dan menikmati buah rambutan adalah sebahagian daripada jati diri yang sering dirinduinya, lebih-lebih lagi bila berdepan tekanan hidup di bandar besar.
“Saya ini hanya budak kampung. Apabila kita sudah terbiasa dengan kehidupan kota, ada masanya kita hilang pegangan terhadap akar umbi sendiri,” kata Amir. Dia menganggap 'Baga' bukan sekadar sebuah filem, malah ia adalah “personal favorite” kerana berjaya mengembalikan identitinya sebagai anak Terengganu yang sentiasa berpijak di bumi nyata.
Dalam pada itu, Amir Ahnaf menyifatkan segala pencapaian yang diraihnya kini, termasuk memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34, sebagai bentuk penghargaan daripada Tuhan. Penerimaan penonton terhadap karya-karyanya hari ini juga dianggap sebagai peluang yang diberikan oleh Allah. Dia menambah, dirinya hanyalah seorang pendosa seperti manusia lain, dan berasa sangat kerdil serta bersyukur apabila bakatnya dihargai. Pelakon itu turut meluahkan rasa terima kasih kerana masih diberi ruang untuk terus berkarya.
Filem 'Baga' yang menampilkan sisi berbeza lakonan Amir Ahnaf sebagai watak seorang penagih dadah bernama Jani, mula menemui penonton pada 5 November lalu.
Siapa sangka, berlakon watak 'lost' boleh bantu kita cari diri sendiri semula, kan?
