MAD MalaysiaMAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

Ustaz Elyas: "Duit Isteri Adalah Duit Isteri", Tegur Babak Suami Curi Duit Isteri Dalam Drama Tular

Sejak belakangan ini, klip-klip drama 'Suamiku Anak Mak' memang tular gila di media sosial. Drama lakonan Emma Maembong sebagai Zaraa dan Keith Foo sebagai Haris ni, salah satu babak dia buat ramai 'terpanggil' termasuklah pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail.

Babak yang jadi perhatian tu adalah bila Haris kantoi senyap-senyap curi duit isterinya, Zaraa, yang disimpan dalam almari. Tujuan Haris? Nak belikan maknya lauk ikan patin yang Mak Leha idamkan. Aduh, dah kenapa sampai kena mencuri ni?

Zaraa, yang memang dah kecewa dan berang, kata Haris tak sepatutnya guna duit dia tanpa kebenaran. Bagi Zaraa, Haris patut tunggu gaji seterusnya untuk beli ikan tu. Tapi Haris ada pandangan dia sendiri, "Konsep dia macam ni. Duit sayang, adalah duit abang juga dan duit abang adalah duit mak!" Amboi, senang je Haris buat formula kewangan sendiri!

Ustaz Elyas terus terang cakap, konsep macam Haris tu memang salah besar. Jelasnya, duit isteri itu hak milik isteri sepenuhnya. Kalau isteri nak bagi wang kat suami, itu dikira sebagai perbuatan ihsan, bukan hak suami untuk ambil sesuka hati.

Ustaz Elyas tegaskan, suami wajib beri nafkah kepada isteri dan anak. Menurut ayat yang dipetik Imam Al-Shawkani, para ulama bersepakat bahawa nafkah anak dan isteri mesti didahulukan sebelum ibu bapa. Nafkah keluarga ni wajib tau, walaupun ketua keluarga tu dah jatuh miskin. Berbeza dengan nafkah ibu bapa yang jadi wajib kalau anak tu mampu saja.

"Tak kisahlah mak tu nak patin ke, nak nenas ke, atau durian Musang King sekalipun, mesti dahulukan isteri dan anak-anak terlebih dahulu," kata Ustaz Elyas. Katanya, jika ada lebihan atau kemampuan barulah diberi kepada ibu bapa, dan beliau menegur Haris secara berseloroh.

Drama 'Suamiku Anak Mak' ni memang mengisahkan Haris yang terlampau sanjung ibunya, Mak Leha lakonan Dian P. Ramlee, sampai sanggup aniaya isteri dan ambil harta isteri tanpa izin demi bahagiakan ibu, dengan alasan 'ibu adalah syurganya'. Mak Leha pulak memang tak restu hubungan anak dia, sanggup buat apa saja nak porak-perandakan rumah tangga Haris dan Zaraa, termasuk fitnah Zaraa cederakan dia. Aduh, memang penuh drama betul!

So, korang rasa Haris ni patut buat apa sebenarnya? Komen kat bawah!

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.