MAD MalaysiaMAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

Shiha Zikir Tegas: Nak Jadi Artis Kena Ada Jiwa Seni, Bukan Hanya Kejar Glamor TikTok!

via Instagram @shihazikir

Bukan mudah nak bergelar penyanyi kalau setakat bermodalkan rupa paras, bakat menyanyi dan keinginan nak popular, tau! Kalau ikut penyanyi dan penerbit lagu, Shiha Zikir, sesiapa saja yang teringin nak menapak dalam industri muzik ni perlu ada pakej lengkap: jiwa seni yang membara, minat mendalam, dan yang paling penting, kesungguhan untuk berdepan segala jatuh bangun dalam dunia hiburan.

Sebab itulah, melalui label rakamannya, Shiha Zikir Empire, Shiha tak nak sekadar mencari bakat baru yang pandai menyanyi. Sebaliknya, dia mencari individu yang betul-betul dah bersedia nak berjuang, bukan jenis yang mudah mengalah bila berdepan kegagalan atau cabaran. Ramai sangat yang teringin nak jadi penyanyi, tapi persoalannya, adakah mereka benar-benar cintakan dunia seni ni, atau cuma nak menumpang populariti Shiha dan labelnya?

Memanglah ramai individu berbakat yang selalu hantar mesej peribadi kat Shiha. Bila diorang tahu Shiha ada label rakaman sendiri, mungkin diorang nampak ia sebagai peluang keemasan untuk dapat bantuan hasilkan lagu dan kembangkan kerjaya seni. Tapi bagi Shiha, bakat menyanyi saja tak cukup. Dia mahu seseorang yang benar-benar ada semangat kental dan minat mendalam terhadap bidang ini. Kalau seseorang tu ada jiwa dalam industri muzik, perjalanan diorang akan jadi lebih mudah sebab diorang sentiasa ada keinginan nak berusaha. Pendek kata, kebolehan menyanyi secara langsung bagus, rakaman di studio pun bagus, dan sikapnya juga perlu baik. Bila semua dah cukup, selebihnya kita serahkan kepada Allah sebab rezeki masing-masing kan?

Mentaliti Populariti Semata-mata

Yang paling membimbangkan Shiha adalah mentaliti segelintir bakat baru yang mengaku nak jadi penyanyi sebab nak popular dan dikenali ramai. Bila ditanya kenapa nak jadi penyanyi, ada yang jawab spontan, “Saya mahu menjadi popular, kak. Saya suka TikTok dan mahu orang melihat saya sebagai seorang yang popular.” Ha, dengar pun dah tahu, ini memang bukan kriteria yang Shiha cari!

Bagi Shiha, walau sehebat mana pun bakat seseorang, jawapan macam tu memang takkan lepas saringan. Kalau seseorang tu tahu hala tuju sebenar, dia akan cakap yang dia memang meminati bidang nyanyian dan mahu mengekspresikan bakat yang ada dalam diri. Tapi kalau jawapannya sebab nampak seronok jadi artis, nak merasa populariti dan dikenali ramai, itu memang lain ceritanya. Kadang-kadang, diorang ni cuma nampak kehidupan artis sebagai sesuatu yang menyeronokkan, tanpa faham susah payah di sebaliknya. Mungkin sekarang ramai yang melihat dunia hiburan dari sudut populariti semata-mata. Diorang nampak keseronokan atas pentas, dikenali ramai dan dapat perhatian, tapi belum tentu faham apa yang perlu dilalui untuk sampai ke tahap itu.

Semangat Juang dan Tanggungjawab Bersama

Satu lagi sikap yang Shiha tak boleh terima dan tak mahu ada dalam Shiha Zikir Empire adalah sikap mudah mengalah. Ada yang, belum sempat lagu pertama nak meletup, dah mula menyalahkan pihak label bila tak dapat perhatian atau tak menjadi. Kalau seseorang tu tak ada semangat yang kuat, bila lagu atau single pertama tak dapat sambutan, memang mudah sangat diorang nak mengalah. Ada yang terus menyalahkan keadaan, orang lain, pihak label atau pengurus. Sayang sangat, sebab kita mungkin nampak seseorang tu ada pakej dan bakat yang diperlukan, tapi bila berdepan sedikit cabaran, terus hilang semangat.

Shiha menegaskan dia mahukan individu yang sanggup berusaha bersama-sama. Kalau lagu pertama tak menjadi, tak mengapa. Kita cuba lagi! Bagi Shiha, semangat macam inilah yang paling penting. Kita tak boleh nak harapkan semuanya berjalan lancar sejak awal. Bakal artis perlu ada kesediaan untuk menghadapi kegagalan dan bangkit semula, macam semangat pejuang sejati.

Tambahan pula, pihak label dah mengeluarkan modal yang bukan sedikit untuk menghasilkan sebuah lagu dan video muzik. Kosnya tinggi, melibatkan belanja untuk rakaman, video muzik, sidang media dan pelbagai perkara lain. Sudah tentulah pihak label mengharapkan pulangan dari pelaburan yang dah dikeluarkan tu. Oleh itu, artis itu sendiri perlu ada kesungguhan dan kesediaan untuk memberikan yang terbaik. Pihak label boleh bantu sediakan kemudahan dan peluang, tapi artis juga kena memainkan peranan yang sama penting. Kalau lagu tak dapat sambutan, jangan terus salahkan pihak lain. Sebaliknya, kita perlu mencari jalan untuk memperbaiki kekurangan dan mencuba lagi. Barulah adil, kan? Diorang kena faham yang pihak label pun berusaha dan keluarkan modal untuk bantu bina kerjaya mereka.

Jadi, sebelum terjun nak jadi artis, dah betul-betul bersediakah jiwa korang?

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.

Tonton berita ini dalam bentuk video