Penantian Berakhir: My Chemical Romance Gegar Bukit Jalil Depan 62,000 Peminat!

Penantian yang dirasai hampir dua dekad oleh peminat My Chemical Romance (MCR) di Malaysia akhirnya terubat! Kumpulan rock alternatif popular dari Amerika Syarikat ini kembali ke Malaysia, buat kali pertama sejak persembahan mereka pada tahun 2007.
Konsert hari pertama My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur anjuran Hello Universe ini memang bukan kaleng-kaleng. Ia berjaya menghimpunkan seramai 62,000 peminat tegar di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis lalu. Bayangkan, satu stadium penuh dengan My Chem freaks!
Persembahan yang dibarisi Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way, dan Frank Iero ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu perjalanan nostalgia buat semua yang hadir. Masing-masing dijemput untuk mengimbau kenangan manis melalui lagu-lagu yang pernah jadi soundtrack hidup mereka.
Gerard Way, vokalis kumpulan ini, memang tahu cara nak buat persembahan jadi gempak. Selain kekuatan vokal dan muzik yang padu, dia turut menampilkan elemen teater yang buat semua terpegun. Dengan mulut penuh dakwat hitam, Gerard nampak seolah-olah dirasuk masa nyanyi lagu ikonik Welcome To The Black Parade. Fuh, meremang habis!
Lagi power, seluruh stadium bertukar jadi koir gergasi bila penonton beramai-ramai ikut menyanyi lagu tu. Memang rasa bersatu padu jiwa rock kita. Lepas tu, MCR teruskan lagi dengan I Don’t Love You dan House Of Wolves.
Dalam segmen A Gift, peminat dihidangkan pula dengan rangkaian lagu-lagu menusuk kalbu macam Cancer, Mama, Sleep, Teenagers, Disenchanted dan Famous Last Words. Persembahan malam pertama ditutup dengan lagu Blood.
Memasuki bahagian kedua konsert, penonton masih lagi dihiburkan dengan SING, AMBULANCE dan Cemetery Drive sebelum MCR menghidangkan Helena yang memang ditunggu-tunggu ramai. Memang satu malam yang penuh emosi dan nostalgia!
Konsert hari pertama ini pastinya jadi kenangan paling bermakna buat peminat MCR di Malaysia, lagi-lagi selepas 19 tahun menanti kumpulan ini kembali beraksi. MCR dijadualkan kembali ke TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat untuk persembahan malam kedua.
