Tiara Jacquelina Buat Aisha Retno Terinspirasi dengan PGL!

Menerusi perkongsian di Threads, Aisha Retno, yang nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, bersetuju dengan pandangan seorang individu yang mengulas tentang kegigihan Tiara Jacquelina menghidupkan karya Puteri Gunung Ledang sejak 2004. Aisha berkata Tiara menjadi inspirasi ramai kerana sifatnya yang tidak mudah mengalah dan bersemangat tinggi dalam melakukan sesuatu perkara.
“Betul itu. Dia sangat memberi inspirasi kepada kami semua untuk tidak berputus asa dan kerja sehingga awak berjaya dengan penuh bersemangat dan minat,” kata Aisha.
Sebagai salah seorang pelakon utama dalam naskhah tersebut, Aisha percaya niat yang betul akan membawa ganjaran dan pulangan yang baik. “Semuanya inshaallah jika dibaluti dengan niat yang betul akan berbuah beranak pinak hasilnya,” ujarnya.
Teater Puteri Gunung Ledang The Musical mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila hampir 23,000 keping tiket habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan secara dalam talian dibuka pada 25 Ogos.
Teater itu akan dipentaskan semula dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway City.
