MAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

‘Saya Pernah Buat Sampai 60 Kali’ – Zul Ariffin Rela Ulang Babak Lakonan Hingga Puas

Pelakon berpengalaman Zul Ariffin mengakui rasa tidak berpuas hati terhadap hasil lakonan sendiri sudah menjadi perkara lumrah bagi anak seni. Zul, atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 39, berkata perasaan itu mendorong pelakon untuk sentiasa memberikan persembahan terbaik setiap kali berada di lokasi penggambaran.

"Saya tak tahulah, saya bukan nak mewakili semua pelakon di dunia ini. Tapi, tak ada pelakon yang selesai berlakon akan balik dan cakap, ‘Fuh, gempak siut aku buat!’ Tak ada!" katanya.

Zul berkata ada babak yang dilakonkannya bersungguh-sungguh tetapi akhirnya tidak digunakan. Apabila menonton tayangan perdana, dia tertanya-tanya mengapa babak itu tidak dimasukkan.

Untuk memastikan setiap babak memenuhi kehendaknya, Zul akan melihat semula hasil lakonannya menerusi monitor setiap kali pengarah menyebut ‘cut’. Dia juga tidak keberatan mengulang sesuatu babak berkali-kali sehingga berpuas hati. "Saya sendiri pernah buat sampai 60 kali," kongsinya.

Mengulas lanjut, Zul berkata mengulang babak sama bukan sesuatu yang mudah, terutama babak yang melibatkan emosi seperti ketawa. Pelakon perlu mengekalkan penghayatan dan ekspresi yang sesuai walaupun babak dirakam berulang kali dengan lensa atau sudut kamera yang berbeza. "Jangan ingat mudah nak ketawa berulang kali. Tapi, kita buat semua itu sebab kita sudah dilatih untuk melakukannya," jelasnya.

Zul turut mengakui perasaan gementar boleh timbul menjelang tayangan perdana kerana pelakon tidak tahu bagaimana hasil kerja mereka akan diterima penonton. "Perkara itu memang di luar kawalan kita. Jadi, kita kena reda. Sebab itulah saya selalu cakap, kalau nak buat sesuatu, buatlah bersungguh-sungguh sampai habis," jelasnya.

Sebelum ini, pelakon Elizabeth Tan, 32, mengakui kecewa dengan lakonannya dalam filem Pemuja Syaitan yang dianggap tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.