Bukan Klon, Amir Masdi Mahu Jadi Diri Sendiri!

Penyanyi Amir Masdi, 29, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, menegaskan dia selesa mengekalkan identiti tersendiri sebagai anak seni dan tidak mahu digelar 'The Next Faizal Tahir'.
Amir mengakui Faizal Tahir adalah seorang ikon dan penyanyi yang sangat dihormatinya. Menurutnya, kenyataannya sebelum ini bahawa dia tidak mampu menjadi 'The Next Faizal Tahir' berpijak pada hakikat bahawa setiap individu mempunyai keunikan tersendiri yang sukar dicari ganti.
"Sebelum ini saya cakap tidak mampu jadi seperti dia kerana mungkin semua orang mampu untuk mendapat kejayaan dia, untuk mendapatkan apa yang dia dah berjaya dapat. Tetapi untuk jadi seperti dia, dia adalah Faizal Tahir dan saya tidak fikir sesiapa pun boleh jadi dia dan dia pun tak boleh nak jadi siapa-siapa," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, Amir melihat kejayaan penyanyi lagu Sampai Syurga itu sebagai satu inspirasi besar yang wajar dicontohi oleh mana-mana artis menerusi kerja keras dan niat yang betul. Dia berkata, Faizal boleh membuat konsert dan mempunyai banyak lagu, malah setiap tahun lagu-lagunya sering dikaitkan dengan sambutan Merdeka.
"Itu adalah kejayaan yang sesiapa sahaja boleh capai kalau kita kerja keras dan mempunyai niat betul," katanya.
Amir berkata, dia lebih selesa menumpukan usaha untuk menempa nama atas kebolehan sendiri demi membina legasi tersendiri. "Tetapi untuk menjadi seorang Faizal Tahir, dia mempunyai keunikan tersendiri. Mungkin saya perlu menjadi Amir Masdi sendiri, bukan 'the next' sesiapa pun," katanya.
