MAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

FFM35: Andy Teh dan Idan Aedan Kongsi Rasa Syukur Selepas Tercalon Top 5

via Instagram @idanaedan

Filem ‘Abah Saya, Uncle Mike’, yang mengangkat kisah kasih sayang merentas budaya, meraih lapan pencalonan Top 5 Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35). Dua pelakonnya, Andy Teh dan Idan Aedan, turut tercalon dan berpeluang bersaing dengan pelakon berpengalaman.

Andy, yang nama sebenarnya Andy Teh Kim Huat, 40, tercalon bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi watak Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike. Beliau berkata pencalonan itu bermakna kerana ini kali pertama beliau dicalonkan selepas bertahun-tahun menyertai FFM.

“Sangat bersyukur dapat dicalonkan dalam Top 5, sebab dah bertahun-tahun menyertai FFM tetapi ini kali pertama saya dicalonkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM35 di sini baru-baru ini.

Andy berkata beliau menerima watak Uncle Mike sebagai peluang mencabar diri untuk menampilkan sisi lakonan yang berbeza daripada watak antagonis dan aksi yang sering dibawakannya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Astro Shaw, penerbit dan penulis skrip, atas kepercayaan yang diberikan.

Idan, yang nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 22, tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Rafei. Beliau berkata dirinya agak terkejut terpilih ke peringkat Top 5.

“Saya memang tak ada sasaran nak menang. Berada di sebelah mereka pun saya dah kira menang untuk diri sendiri kerana mereka semua hebat,” katanya.

Pencalonan itu merupakan yang kedua buat Idan di FFM, selepas bersaing dalam kategori Pelakon Lelaki Harapan pada FFM32 menerusi filem Anak Rimau The Movie.

Dalam perkembangan lain, Idan menyifatkan peluang bergandingan dengan pelakon Indonesia Dian Sastrowardoyo dalam The Fox King (Semusim Lara) sebagai impian yang menjadi kenyataan. Menurutnya, Dian sangat merendah diri dan terbuka untuk bekerjasama, malah sering bertanya pendapat pelakon lain tentang cara sesuatu babak hendak dilakukan.

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.