Celine Dion Dah Ada Barbie Sendiri, Lengkap Dengan Kalung 'Heart of the Ocean'!

Lagu 'My Heart Will Go On' nyanyian Celine Dion menjadi fenomena menerusi filem Titanic. Hampir tiga dekad kemudian, penyanyi antarabangsa itu menerima penghormatan istimewa apabila Mattel menghasilkan anak patung Barbie yang diinspirasikan daripada penampilan ikoniknya.
Barbie edisi khas itu turut memakai replika kalung 'Heart of the Ocean', aksesori berbentuk hati berwarna biru yang sinonim dengan filem romantik lakonan Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet. Rekaan anak patung itu mengambil inspirasi daripada penampilan Celine ketika menyampaikan lagu tersebut pada Anugerah Akademi 1998. Barbie itu memakai gaun labuh biru gelap berleher tinggi dan berlengan panjang, dengan gaya rambut yang menyerupai penampilan asal penyanyi itu. Perincian wajah dan solekannya juga dihasilkan bagi menyerupai Celine.
Menurut laporan Wolipop Detik, Mattel mengumumkan pelancaran koleksi Barbie Signature Celine Dion pada 14 Oktober lalu sebagai penghargaan terhadap sumbangan penyanyi itu dalam industri muzik. Celine dilaporkan terharu kerana salah satu momen paling bermakna dalam kerjayanya diabadikan melalui anak patung tersebut, dan berharap koleksi itu dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk berani mengekspresikan diri dan mengejar impian.
Barbie Signature Celine Dion ditawarkan menerusi laman rasmi Mattel Creations pada harga AS$60 (sekitar RM250), bergantung pada kadar pertukaran mata wang. Koleksi itu dilengkapi sijil ketulenan dan tapak pameran khas.
'My Heart Will Go On' merupakan antara karya paling terkenal dalam kerjaya Celine dan memenangi Oscar bagi kategori Lagu Asal Terbaik pada 1998.
