Izara Aishah mohon maaf dan rayu netizen hentikan perang siber!

Pelakon Izara Aishah, 34, menasihatkan pengikutnya di media sosial supaya menghentikan pergaduhan dengan netizen Indonesia. Pertelingkahan itu berpunca daripada salah faham melibatkan penyanyi Indonesia Lesti Kejora, yang berlaku semasa konsert Gema Bumantara baru-baru ini.
Izara memberitahu dia sudah memohon maaf dan berharap isu itu dapat diselesaikan dengan baik. "Orang Malaysiaku, pengikutku minta tolong jangan hina pasukan Lesti kerana yang salahnya saya sebab bersikap emosi, tak profesional di media sosial ini," katanya dalam thread di media sosial.
Sebelum itu, Izara meluahkan rasa kesal terhadap layanan yang diterimanya daripada pasukan Lesti, yang dianggapnya sombong dan kurang mesra. Namun, dia turut memohon maaf kepada Lesti dan suaminya, Rizky Billar, atas salah faham yang berlaku.
Dalam kenyataan yang sama, Izara menegaskan orang Malaysia tidak biadab sehingga menghina dan mencaci rupa orang lain di media sosial. "Kalau dah sampai menghina rupa, keluarga dan sebagainya itu bukan kita. Tolong saya mohon berhenti. Semua silap saya, saya mengaku sepenuhnya," katanya.
Izara turut memohon agar isu itu tidak dipanjangkan oleh pengikut media sosialnya.
