MAD MalaysiaMuzik, selebriti dan budaya pop
Hiburan

Jika Siti Nurhaliza Mahu, Dia Boleh Pilih Lagu Apa Sahaja – Noh Salleh

via Instagram @ctdk

Mohammad Noh Salleh, 41, mengakui berasa gementar untuk mengundang penyanyi nombor satu negara itu, malah menyifatkan dirinya belum tentu layak bergandingan dengan figura besar industri muzik berkenaan.

“Apa-apa pun, jemputan pertama kami akan ditujukan kepada Siti Nurhaliza dahulu. Kami akan bertanya kepada Kak Rozi (pengurus Siti), sama ada dia mempunyai kelapangan. Walaupun kami sedar mungkin kedudukan kami ini tidak layak untuk membawanya ke pentas kami, atas dasar budi bahasa dan penghormatan, dia harus ditanya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada sesi bersama media di Icon City.

Menurut vokalis kumpulan Hujan itu, sekiranya Siti bersetuju, penyanyi itu bebas memilih mana-mana lagu daripada katalog muziknya untuk dipersembahkan. “Jika dia sudi, saya akan berikan senarai lagu dan biarlah dia sendiri yang memilih,” katanya.

Noh berkata, dia berasa terhutang budi kepada Siti yang pernah mengundangnya membuat persembahan dalam dua konsert sebelum ini, iaitu Violet Skies: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live in Arena of Stars dan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza. Siti juga memilih untuk menyanyikan dua lagu ciptaan Noh, Pagi Yang Gelap dan Rahsia Tuhan, dan mencadangkan versi rock bagi lagu tersebut.

Noh turut mengimbau pengalaman ketika diundang sebagai penyanyi jemputan dalam Konsert Legacy Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dihadiri lebih 70,000 penonton. Menurutnya, tanggungjawab membuat persembahan di hadapan peminat Siti Nurhaliza atau SitiZoners memberikan tekanan yang jauh berbeza berbanding konsert solonya sendiri.

“Lima minit sebelum naik ke pentas, badan saya sudah menggigil dan berpeluh sejuk. Saya mengalami serangan panik. Bayangkan, 70,000 orang berada di depan mata,” katanya.

Konsert solo berformat orkestra itu bakal menjadi persembahan kedua seumpamanya buat Noh selepas dia tampil bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu.

Dengan Maklumat Dari Sumber Awam, Wikipedia, YouTube, Instagram Dan TikTok.