Mana nak cari macam Vida, bidadari syurga – Fazley

Usahawan sensasi Datuk Seri Vida (DSV) sanggup batalkan urusan kerja dan terbang pulang dari China demi kekasihnya, penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob, yang mengalami kecederaan kaki baru-baru ini.
Menurut Fazley, 48, dia tercedera ketika menjalani latihan persediaan untuk sebuah kejohanan badminton sehingga terpaksa dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.
Fazley berkata dia paling terharu kerana DSV sepatutnya berada di China. DSV pulang awal bukan sahaja untuk menyokong Anugerah Melodi Terhangat, tetapi untuk menemani Fazley menjalani pemeriksaan doktor. Dia juga membatalkan komitmen lain yang telah dijadualkan.
Fazley berkata jiwanya tidak tenang kerana mereka sukar bertemu akibat jadual masing-masing yang sibuk. Ketika dia terpelecok, DSV sedang menjalani penggambaran, lalu dia meninggalkan program itu dan datang melihat Fazley.
Layanan itu membuatkan Fazley melabelkan DSV sebagai 'bidadari syurga'. "Saya rasa dia sangat 'sweet'. Suapkan makan dan basuhkan tangan. Ya Allah, terima kasih sayang. Sekarang ini memang dia tengah jaga saya, sanggup balik awal, tinggalkan program. Mana nak cari orang seperti itu, bidadari syurga," katanya.
Sementara itu, DSV mengakui amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai insiden itu. "Tidak kira apa yang perlu dilakukan, saya hanya nak tengok dia," katanya. Menurutnya, ketika itu dia sedang merindui Fazley.
Kisah cinta mereka hangat diperkatakan selepas kedua-duanya akrab ketika menyertai program Talk To My Manager 2. Hubungan mereka mendapat restu anak-anak dan mereka dikatakan merancang untuk ke jenjang pelamin.
